Saturday, April 4, 2009

SHOWCASE ORANG PUTIH PERTAMA

Setelah Bandar Limbang berjaya ditawan semula dari pemberontak, Komando British terus melakukan rondaan dari kampung ke kampung untuk mencari saki-baki yang mungkin kembali aktif. Untuk menjaga budaya dan citarasa penduduk tempatan dan supaya tidak menghangatkan lagi penentangan, Komando British dan Field Force menjalankan tugas rondaan secara bersama.

Bagi kami kanak-kanak, kedatangan 'orang Putih' adalah pemandangan yang baru dan sungguh menyoronokkan. Kami bubut ke mana saja mereka pergi selagi mereka berada dikawasan kampung.

Soldadu berjalan dengan pakaian seragam hijau bersenjatakan senapang dan bom tangan. Pemandangan ini bukan saja showcase pertama kami melihat orang British tetapi juga pertama kali melihat soldadu dengan seragam dan bersenjata dan sekaligus kami baru mengenal perkataan 'orang putih'.

Semasa komando-komando berehat di kaki lima kedai bapa Soon Ping, Mereka telah membeli dan menghadiahkan gula-gula kepada kami. "Baik ahh.. walaupun muanya macam bangkatan.." Bisik Saban setelah mendapat gula-gula yang dibalingkan oleh seorang daripada mereka.

Pada malamnya seorang daripada komando membalingkan bom tangan kapada kami. Menyangkakan ianya gula-gula besar, semua kami berebut mendapatkannya. Dengan tiba-tiba bom itu meletup. Ketakutan dan merasakan kami cedera, kami terus berlari diantara pokok piasau sambil menangis. Dalam berusaha menyelamatkan nyawa, saya terjatuh dan terus berteriak mamanggil nama ibu. " Bangun.. mengapa kau... mimpi kau Zir!!??" Tanya Nenek Esah.

Bagi saya perkataan 'Bangkatan' yang merujuk kepada orang British adalah perkataan yang dicipta oleh Saban Bin Salleh dan perkataan 'Orang Putih' kami dengar daripada orang tua.

Pada ingatan saya, rondaan di Kampung Punang dibuat lebih daripada satu hari tetapi saya pasti komando ini ada berjumpa dengan pembesar-pembesar kampung pada masa itu.

Wednesday, April 1, 2009

KEHIDUPAN DI KHEMAH PELARIAN

"Matikan api cepat!... Matikan api..!! Tiba-tiba seorang nenek yang baru saja selesai buang air besar bersuara dengan kuatnya. "Lari ke dalam semak!!" ada suara lain yang menyambung. "Kanak-kanak, lari ke dalam rumah..." suara ibu-ibu serentak terpancul sambil berlari-lari memegang kain tapih. Keadaan sama seperti tikus yang bertempiaran lari setelah kedatangan kucing.

Semua senyap dan kaku sebaik Likopta melintas betul-betul di atas kawasan kami yang dipanggil Sulap Labu. Kelihatan segelintir yang terkumat-kamit berdoa agar tiada bom yang akan dijatuhkan. Ada yang berpeluh ketegangan. Beginilah rutin hidupan atau aktiviti kami sebagai pelarian di Kampung Sulap Labu.

Terdahulu, Tua Dolah memberi penerangan tentang taktik dan strategi keselamatan yang diambil dari pengelaman menjadi pelarian semasa zaman pemerintahan Jepun 20 tahun lalu. Diantaranya, matikan api walaupun makanan belum masak, semua bersembunyi daripada dilihat dari atas dan padamkan lampu semasa tidur.

Semua pelarian perlu pantas and tangkas dalam semua hal lebih-lebih lagi dalam soal menyelamatkan diri dan kumpulan. Kanak-kanak tidak kisah asalkan dapat berkumpul dengan kawan sepermainan dan perut tidak kosong. Ada baju atau tidak tidak penting, asal ada seluar.

Berbeza dengan pelarian di Afghanistan, air minuman walaupun ‘air perigi merah’ tiada masalah, malah makanan harian seperti ikan dan sayur berlebihan. Untuk mendapatkan gula, ada sebilangan orang dewasa yang senyap-senyap balik ke Kampung untuk membeli sambil merisik tentang keadaan sebenar.

Entah berapa lama kami hidup di khemah pelarian, saya tidak pasti.

ABU SYIFA'

PUNANG.com