Sunday, February 15, 2009

BAB 3: KELUARGA SOON PING

Kedatangan Keluarga Soon Ping ke Punang bukanlah dirancang apatah lagi mereka menatap di daerah Muara Brunei yang jauh lebih selesa dari kehidupan di kampung yang segalanya daif.

Mereka mengembara disebabkan demi untuk keselamatan keluarga lebih-lebih lagi untuk menyelamatkan mu-qin (mu-cin) mereka. Soldadu Jepun telah diberitakan sebagai ganas dan sentiasa mencari dara sunti sebagai hamba seks mereka. Untuk menyelamatkan emak bisSoon Ping yang pada ketika itu masih anak dara dari kebuasan soldadu Jepun, nenek-nenek mereka telah mengambil tindakan yang nekad.

Sebaik Pearl Harbour berjaya dibom oleh Jepun pada 7 Disember 1941, nenek mereka tidak berfikir dua kali dan terus meninggalkan Muara Brunei dalam keheningan malam dengan harapan untuk sampai ke perkampungan yang lebih selamat. Selama 3 hari mereka menyusuri pantai dan rimba bakau sambil dipukul ombak, akhirnya mereka sampai ke kampung yang aman damai lagi cantik.

Walaupun mereka nampak asing dan berlainan bangsa, masyarakat Punang menyambut mereka sebagai orang kampung sendiri. Mereka dilayan dengan tertib dan ramah, lebih-lebih lagi mereka dalam keadaan basah kuyup dan keletihan.

Kehadiran mereka ini juga menandakan masyarakat cina mulai bertapak di Kampung Punang pada tahun 1941 dan walaupun Jepun talah menyerah kalah empat tahun kemudian, mereka tidak mahu kembali ke Brunei kerana telah serasi dan selesa dangan masyarakat Melayu Kampung Punang. Walaupun pada mulanya mereka hanya datang untuk ‘bertapok’ sementara waktu.

Pada ketika ini adik Soon Ping, Datu Liaw Soon Eng adalah pegawai kerajaan yang tertinggi dari kaum cina di Sarawak. Beliau dianugerahkan gelaran “Datu” pada tahun 2008.

Sebagai rakan sekampung kitani merasa bangga atas kejayaan beliau. (Ka Bing, adik kepada Saban tidak kena mengena dgn cerita kedatangan kaum cina ke kampung ini)

Monday, January 12, 2009

BAB 2: NOSTALGIA TAHUN 1963

Bila jeraya (jalan raya) Lawas-Punang siap, aku tidak pasti. Kitani boleh semak dengan Pejabat Daerah atau JKR jika berminat sebagai bahan sejarah Kampung Punang. Tetapi pada rujukan lisan, ada orang tua-tua mengatakan, jeraya itu siap tidak lama selepas pemberontakan di Limbang. Ini bererti jeraya ini ‘tambus’ ke Punang pada tahun 1963 kerana Pemberontakan Limbang berlaku pada Disember 1962.

Jika sejarah Kampung Punang di bahagi kepada dua iaitu sebelum dan selepas Pemberontakan maka ianya sangat relevan kerana banyak perkara penting berlaku pada 1963.

Pada Januari 1963, Bahagian ke lima termasuk Lawas mengalami Banjir Besar selama sepuluh hari. Pada keseluruhannya seramai 25,000 penduduk negeri ini kehilangan tempat tinggal. Pada bulan Julai , Sarawak mempunyai Ketua Menteri yang pertama sebelum tertubuhnya negara Malaysia dua bulan kemudian. Ketua Menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan adalah diantara orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan MALAYSIA bersama kemasukan Sabah, Malaya dan Singapura. Sekaligus dengan tertubuhnya Malaysia, Sarawak juga melantik Gabnor yang pertama iaitu Tun Abang Haji Openg.

Jika rentetan saya ini tepat, maka pembinaan jeraya Lawas-Punang bukanlah projek kerajaan Malaysia kerana negara Malaysia tertubuh sama dengan siapnya jeraya tersebut.

Untuk memanjangkan sejarah, saya juga ingin menarik perhatian bahwa Pusat Orang-Orang Buta dibuka di Kuching pada Ogos 1963. Relevannya, orang kampung kitani, arwah Karim Husin pernah bermastautin di sana pada tahun akhir 70an. Arwah dikata paling rajin dan disenangi oleh masyarakat dan pentadbiran institusi ini.

Jika disuruh komen tentang peristiwa tahun 1963 ramai orang-orang tua mengatakan yang keadaan ‘dunia’ pada masa itu tidak menantu dan sedikit kucar-kacir. Apa tidaknya, suasana pemberontakan membabitkan negara jiran yang tumpah ke Limbang dan Banjir Besar pada awal tahun. Dari segi politik, penubuhan Malaysia belum dapat menampakkan hasil dan kebaikan.

Pemberontakan di Limbang pada Disember 1962 sangat besar impaknya kepada saikologi orang kitani kerana serangan Jepun pada tahun 1941 juga berlaku pada bulan Disember. Jarak 20 tahun antara 2 kacau bilau ini tidak lah begitu lama

>

Sunday, November 30, 2008

BAB 1: NOSTALGIA HARI RAYA

Teringat kembali hari raya semasa kami masih kecil iatu kira-kira 40 tahun yang lalu. Ketika itu Masjid Punang terletak ditengah ‘laman’ diantara bangunan Kastam lama dan Rumah Allahyarham Enot (semoga roh beliau dicucuri rahmat).

Entah bila Masjid itu dibina, saya tidak berapa pasti. Tapi yang pasti semua struktur Masjid diperbuat daripada kayu termasuk bertiangkan kayu belian.

Pada malam-malam bulan Puasa, semua aktiviti dan 'happenings' berlaku disekitarnya masjid. Sementara orang tua sembahyang tarawih dan bertadarus hingga jauh malam, kami kanak-kanak riuh rendah bermain belusiran. Ada yang bermain bunga api dan hebatnya ada yang membakar badil.

Aku masih ingat suara nyaring dan merdu Ngian Bakar dan rakan-rakan membaca AlQuran dan menghabiskan satu juzuk satu malam. Kami hanya pandai sebut "... innawamingkum takabal yaaa karimmm..."

Hiburan belum ada, malah istilah ‘TV’pun belum ada. Perkataan “Talibisen” hanya singgah ditelingga kami sekitar awal tahun 70an dan TV warna pancaran RTB mulai kami lihat sekitar 1973.

Masjid diterangi oleh ‘lampung ges’ atau ‘ lampu pump’ manakala cucul samada diperbuat daripada buluh, tin-susu atau lilin yang dibeli dari kedai si Kohin atau siPit.

Aku dan kawan-kawan yang sebaya tidak pernah kenal apa sembahyang tarawih, jauh sekali sembahyang witir. Sembahyang Jumaat sekali sekala. Sembahyang waktu inda berkala. Pada masa itu, aku beranggapan ugama seolah-olah hanya untuk orang tua sahaja walaupun kami sudah diajar alif-ba-ta.

Berlainan dengan suasana sekarang, kami bersuka ria dangan berpakaian daif sekali, kadang kadang tiada berbaju dan hanya berseluar cilarut bagalang-gatah. Dalam kesejukan angin malam kami gunakan kain pelikat sebagai baju. Sebaik pulang ke rumah indung akan berlatir mengenai kain kami berbau peluh dan kadang-kadang berbau tahi ayam. Berpasir memang lumrah.

Kanak-kanak seperti kami tidak tahu erti miskin dan susah. Kamu tahu nasi dan lauk tentu ada. Gulayan tidak perlu. Makan daging karabau hanya apabila ada majlis kahwin. Itupun sekali-sekala. Kadang-kadang satu tahun tidak ada majlis kahwin. Makan ambuyat apabila Haji Monir dan si Usop datang dari Sundar.

Pada hari raya belum pasti ada kesempatan makan daging tapi ada segelintir oang menyembelih ayam belaan sendiri tetapi untuk santapan keluarga sahaja.

Menjelang hari takbirlah paling bahagia bagi semua orang bukan kerana baju baru tapi kerana berkesempatan menikmati beraneka jenis makan yang di hidang di masjid. Tiap orang akan membawa makanan masing-masing dan sebaik selesai sembahyang sunat Raya seluruh jemaah akan makan beramai-ramai.

Seleasi makan, semua jemaah akan beredar terus ke tempat perkuburan untuk mengerjakan tugas masing-masing terhadap ahli keluarga yang telah meninggal.

Bagi kanak-kanak seperti kami – suasana kuburan pada masa ini adalah seperti pesta. Apa tidaknya, di sinilah rezeki akan mendatang. Fokus paling utama ialah kubur Si Ombong yang dikatakan karamat. Ketika itu segelintir orang mempercayai dengan ‘bersedekah’ di kubur ini, diantaranya boleh menambah rezeki.

Orang yang ‘berniat’ akan menabur ‘Usin pacah’ dan kanak-kanak yang berada disitu akan merungkup dan mengutip duit ‘sedekah’. Kadang-kadang duit tersebut tidak sempat sampai ke permukaan tanah.

Sekarang alhamdillillah, amalan ini sudah pupus atas kesedaran kita. Saya adalah antara orang yang pernah menyembunyikan atau membuang nisannya setelah menyedari kubur ini mengundang syirik. Na’uzubillah!!

ABU SYIFA'

PUNANG.com